Projek Tebingan Pantai Punang diteruskan

LAWAS: Kajian secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum projek pembinaan Tebingan Pantai Punang di sini dilaksanakan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, kajian menyeluruh itu merangkumi aspek pergerakan arus, ombak dan pantai di kawasan Kampung Punang sendiri.

“Usaha untuk membangunkan pantai Punang sebagai lokasi riadah keluarga dan tarikan pelawat luar tetap diteruskan menerusi Majlis Daerah Lawas,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke Kampung Punang di sini petang, semalam.

Beliau berkata, projek ini mengalami kelewatan disebabkan pertukaran agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada RECODA.

Malah kerja tanah yang dilaksanakan JKR dahulu mengalami kerosakan akibat hakisan pantai dan dibadai ombak, katanya.

Beliau menambah, RECODA yang menjadi pelaksana baharu terpaksa melakukan kajian menyeluruh sebelum reka bentuk dan perlaksanaannya dapat dimulakan.

Pembinaan ‘Punang Nature Walk’ oleh pihak majlis daerah turut menyediakan kemudahan bangunan terbuka yang dilengkapi gerai jualan serta beberapa kemudahan lainnya, tegas beliau.