Surau Kampung Belangsat bakal siap ikut jadual

LAWAS: Kontraktor diharap dapat menyiapkan pembinaan Surau Kampung Belangsat di Jalan Punang di sini mengikut tarikh ditetapkan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, surau baharu itu boleh memuatkan dalam 200 jemaah di ruang bahagian dalam.

“Surau baharu Kampung Belangsat di Jalan Punang kini dalam fasa pertama pembinaannya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata demikian selepas melakukan tinjauan kerja pembinaan surau itu di Jalan Punang, di sini, petang semalam.

Awang Tengah berkata surau baharu ini dilengkapi berbagai kemudahan malahan tempat memasakpun disediakan dan untuk fasa seterusnya akan dilengkapkan lagi kemudahan lain.

Beliau turut berharap surau ini akan terus menjadi pusat aktiviti masyarakat setempat dalam menyuburkan semangat kerjasama dan mengeratkan perpaduan antara komuniti.

Beliau kemudian meninjau kerja naik taraf gelanggang gasing di Kampung Belangsat dan melihat pertunjukan permainan gasing pangkah oleh ahli persatuan gasing Kampung Belangsat.