Belanjawan Sarawak 2027 unjur hasil tertinggi RM15.091 bilion

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengunjurkan hasil negeri mencecah RM15.091 bilion pada 2027, iaitu anggaran tertinggi dengan peningkatan RM2.042 bilion atau 16 peratus berbanding RM13.049 bilion pada 2026.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Belanjawan Sarawak 2027 dijangka mencatat lebihan RM246 juta berdasarkan perbelanjaan biasa berjumlah RM14.845 bilion.

“Daripada jumlah itu, RM5.747 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM9.098 bilion disalurkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

“Peruntukan pembangunan pula meningkat sembilan peratus kepada RM10.098 bilion bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil negeri dijangka disumbangkan oleh cukai sebanyak RM6.4 bilion, hasil bukan cukai RM6.7 bilion serta geran dan bayaran balik Kerajaan Persekutuan RM1.87 bilion.

Kerajaan turut menaikkan kadar royalti air mentah daripada 2.5 sen kepada lima sen bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Januari 2027.

Dalam sektor pendidikan, katanya, sebanyak RM454.34 juta diperuntukkan bagi pembangunan modal insan termasuk RM200 juta untuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar.

Selain itu,ujarnya, RM30.5 juta disediakan bagi Program Komputer Riba Percuma, RM50 juta bantuan wang saku pelajar dan RM25 juta program sokongan tuisyen untuk kira-kira 113,000 pelajar sekolah menengah.

Bagi sektor pengangkutan, sebanyak RM988 juta diperuntukkan untuk meneruskan pembangunan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), selain RM124 juta bagi menyokong operasi Sarawak Metro, katanya.

Tambahnya, sektor pertanian pula menerima RM20.47 juta bagi memperluaskan tanaman padi komersial untuk mencapai tahap sara diri beras 60 peratus menjelang 2030.

“Sektor pelancongan dan ekonomi kreatif menerima RM103.7 juta bagi pembangunan serta RM186 juta untuk operasi dan geran penganjuran acara.

“Kerajaan turut menyasarkan 5.1 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan RM14 bilion pada 2027,”katanya.

Jelas beliau lagi, dalam usaha menyokong keusahawanan, dua kemudahan pinjaman mudah masing-masing RM25 juta akan diperkenalkan bagi usahawan wanita dan belia.

Pada masa sama, ujarnya, diskaun sewaan 50 peratus bagi gerai serta premis perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun turut diteruskan.

Secara keseluruhannya, Belanjawan Sarawak 2027 berteraskan sembilan strategi utama merangkumi pertumbuhan ekonomi, pendidikan, pembangunan luar bandar, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Belanjawan itu juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.