KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM650 juta bagi meneruskan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada 2027 dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, isi rumah B40 yang layak akan menerima RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang RM375.
“Kerajaan turut meneruskan diskaun bil elektrik 25 peratus melibatkan RM281 juta.
“Selain itu, subsidi bil air RM35 juta serta subsidi tambang bas RM8.5 juta turut ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, dalam aspek kebajikan, RM50 juta disediakan bagi Skim Manfaat Kesihatan Warga Emas.
Manakala, RM45.9 juta untuk bantuan kebajikan, RM14.2 juta bantuan perubatan serta RM12 juta Bantuan Ihsan Kematian, katanya.
Sementara itu, jelasnya, bagi sektor perumahan, sebanyak RM106 juta diperuntukkan untuk pembinaan 906 unit rumah mampu milik, manakala RM213.35 juta bagi projek pembangunan melibatkan 1,410 unit rumah.
“Kerajaan turut meneruskan bantuan deposit rumah pertama RM10,000, subsidi sewa RM200 sebulan serta memperuntukkan RM65 juta bagi Program Pembaikan Rumah Rakyat Miskin (PPRM) Sarawak.
“Sementara itu, RM20 juta disediakan sebagai peruntukan awal pembangunan Pusat Kanser Sarawak bernilai RM1.5 bilion,” ujarnya.
Dalam pembangunan ekonomi rakyat pula, tegasnya, RM13.6 juta diperuntukkan disediakan bagi program keusahawanan serta RM2.5 juta untuk membantu 835 usahawan mikro B40 termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal dan balu.
