RM28 juta perkukuhkan SPay Global 2027

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM28 juta bagi memperkukuhkan platform pembayaran digital SPay Global pada 2027.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu sekali gus memperluaskan peranannya dalam perkhidmatan kewangan digital dan penyaluran bantuan kerajaan.

Jelasnya, SPay Global yang sebelum ini dikenali SarawakPay berkembang daripada dompet elektronik tempatan kepada platform pembayaran digital di peringkat nasional.

“Integrasi SPay Global dengan DuitNow QR membolehkan pengguna membuat pembayaran kepada lebih tiga juta peniaga yang mengambil bahagian di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengikut rekod, beliau memaklumkan, sehingga Ogos 2026, SPay Global merekodkan 186 juta transaksi terkumpul bernilai RM6.9 bilion dengan kira-kira 1.7 juta pengguna berdaftar.

Abang Johari berkata, SPay Global akan terus berperanan sebagai platform utama penyaluran bantuan kerajaan.

Ini termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan wang saku khas pelajar, Bantuan Komputer Riba Percuma serta Baucar Buku Percuma,ujarnya.

Jelasnya, platform itu membolehkan bantuan disalurkan secara terus kepada penerima yang layak di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, peruntukan berkenaan juga bertujuan memperkukuhkan SPay Global sebagai ekosistem teknologi kewangan.

Ekosistem ini jelasnya, menyokong pembayaran digital, keterangkuman kewangan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.