KUCHING: Dengan anggaran pendapatan berjumlah RM15.091 bilion dan sebanyak RM14.845 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, Belanjawan Sarawak 2027 diunjurkan mencatat lebihan sebanyak RM246 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lebihan belanjawan itu mencerminkan usaha Sarawak menguruskan kewangan secara berhemat bagi memenuhi keperluan semasa di samping membuat persediaan menghadapi cabaran masa depan.
“Lebihan itu menunjukkan Sarawak menguruskan kewangannya dengan bijak, memenuhi keperluan hari ini sambil membuat persediaan untuk masa depan,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (bajet) (2027) bagi Bacaan Kali Kedua pada mesyuarat kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, Bajet Sarawak 2027 memperuntukkan sejumlah RM14.845 bilion, merangkumi RM5.747 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM9.098 bilion untuk pembangunan.
Peruntukan pembangunan bagi tahun 2027 keseluruhannya berjumlah RM10.098 bilion, meningkat sebanyak RM826 juta atau sembilan peratus daripada anggaran asal perbelanjaan pembangunan tahun ini, katanya.
Peruntukan pembangunan yang besar itu, jelasnya, mencerminkan komitmen kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat serta membangunkan negeri yang lebih makmur dan maju.
Di samping itu, beliau berkata, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi membiayai projek pembangunan negeri, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kemudahan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Bajet 2027 turut memperuntukkan RM300 juta kepada Tabung Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWFF) bagi memastikan sebahagian hasil negeri disimpan untuk manfaat generasi akan datang, katanya.
Hasil negeri bagi tahun 2027, katanya, diunjurkan berjumlah RM15.091 bilion, dengan hasil cukai menyumbang RM6.4 bilion atau 43 peratus, manakala hasil bukan cukai dianggarkan RM6.7 bilion atau 45 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Hasil cukai utama ialah Cukai Jualan Negeri yang diunjurkan sebanyak RM4.6 bilion, termasuk RM3.4 bilion daripada minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain, tegas beliau.
Sementara itu, hasil bukan cukai dijangka disumbangkan oleh pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.57 bilion serta pendapatan dividen RM2.6 bilion.
Geran dan pembayaran balik daripada Kerajaan Persekutuan pula, tambahnya, diunjurkan berjumlah RM1.87 bilion, termasuk bayaran interim geran khas sebanyak RM1.5 bilion bagi 2027.
Peruntukan besar itu menunjukkan tekad teguh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menjadikan Sarawak tempat yang lebih baik untuk didiami, sebuah negeri yang makmur dan maju, dengan setiap rakyat Sarawak dapat mengharapkan masa depan yang lebih cerah, katanya. -Rohana Bujang/ Ibrahim Gani/ Noraida Abd Kasim
