Ahmad Johnie gesa KPM kaji semula status sekolah pedalaman Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengkaji semula cadangan perubahan status sekolah pedalaman di Sarawak bagi memastikan kebajikan dan keselamatan guru yang berkhidmat di luar bandar serta pedalaman terus terpelihara.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penilaian semula status sekolah perlu dilaksanakan secara adil dan telus dengan mengambil kira jarak, masa perjalanan, keadaan pengangkutan, kemudahan asas, risiko keselamatan serta kesejahteraan guru.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, empat sekolah kategori P1 dicadangkan kehilangan status pedalaman, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Semop, SK Mohamad Redeh Saai, SK Kampung Kut Daro dan SMK Semop.

“Manakala empat sekolah kategori P2 dicadangkan diturunkan kepada P1, iaitu SK Salah Kechil, SK Kampung Penibong, SK Kampung Tekajong dan SK Kampung Bruit.

“Igan mencadangkan supaya status sedia ada sekolah yang terlibat dikekalkan bagi tempoh dua tahun lagi, sementara penilaian semula secara menyeluruh dilaksanakan sebelum sebarang perubahan dikuatkuasakan,” katanya semasa membahas Belanjawan MADANI 2027, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan Madani 2027, Jumaat lalu.

Dalam masa sama, Ahmad Johnie memohon supaya SK Sabena, SK Nanga Semah dan SK Telok Gelam dinaik taraf daripada kategori P2 kepada P3.

“Sekolah-sekolah ini masih bergantung kepada laluan sungai sebagai pengangkutan utama. Guru berdepan perjalanan menggunakan perahu, perubahan air pasang surut, ombak serta cuaca tidak menentu.

“Masalah bekalan air dan elektrik, capaian internet yang lemah serta keadaan kuarters guru
yang daif turut menambahkan kesukaran.

“Malah, Pusat Khidmat Parlimen Igan sendiri sering membantu menghantar bekalan air minuman ke sekolah-sekolah pedalaman, termasuk dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS),” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Johnie turut turut membangkitkan isu kekurangan bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di enam sekolah bawah PPD Daro yang memerlukan sekurang-kurangnya 11 kelas tambahan.

“Sekolah terbabit ialah SK Abang Gesa, SMK Matu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah Daro, SMK Semop, SK Bawang Tian dan SK Hijrah Badong,” katanya.

Beliau berkata, kesesakan bilik darjah PPKI bukan sahaja menyukarkan guru memberikan perhatian sewajarnya kepada murid, malah boleh menjejaskan keselamatan dan keberkesanan pembelajaran.

Justeru, beliau mencadangkan peruntukan khas disalurkan bagi menyediakan ruang pembelajaran sementara, termasuk pemasangan sekatan ruang yang sesuai dan selamat sementara menunggu pembinaan bilik darjah tambahan.