RM742 juta bina jalan baharu

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM742 juta untuk membina jalan raya baharu dan jambatan di negeri ini tahun depan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, peruntukan tersebut untuk membina tujuh jalan raya dan jambatan, untuk program transformasi jambatan luar bandar dan kerja membaik pulih infrastruktur awam yang rosak.

Jalan raya yang dicadangkan ialah jalan menuju ke Rumah Panjang Nicholas Sandom, Sungai Sigu, Pandan, Bintulu, katanya semasa membentang Bajet Sarawak 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, yang lain ialah projek membina jalan raya berkembar dan jambatan Kemena ke Lapangan Terbang Bintulu.

Turut dicadangkan ialah membina jalan Batu Kawa ke jalan Stephen Yong di Kuching, Jalan Kampung Medong Seberang/Kampung Kekan Seberang, Dalat, katanya.

Yang lain, katanya, ialah pembinaan dan penyiapan Jalan Baru Teku/Pasai Siong ke Kemuyang di Sibu dan menurap jalan Ulu Tinjar, Marudi.

Kerajaan Negeri, tambahnya, turut memperuntukkan RM20.47 juta pada 2027 bagi memperluaskan pengeluaran padi menerusi pembangunan tanah pertanian secara moden, penggunaan mekanisasi serta penyediaan sistem pengairan.

Matlamatnya untuk menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 60 peratus dan daging lembu kepada 25 peratus menjelang 2030, tegas beliau.

Menurut beliau, kerajaan negeri memberikan komitmen sebanyak RM1 bilion bagi mentransformasikan industri padi Sarawak, dengan 14,000 hektar tanah dikenal pasti untuk penanaman padi yang akan dilengkapi sistem pengairan dan saliran moden.

Pembangunan akan diteruskan secara berperingkat, dengan Fasa Satu dijadualkan bermula pada 2027, melibatkan tujuh kawasan dengan keluasan keseluruhan kira-kira 2,000 hektar, katanya.