Kaji semula elaun guru KAFA – Ahmad Johnie

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Igan mencadangkan supaya skim lantikan lebih berstruktur termasuk lantikan tetap bagi guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang memenuhi syarat kelayakan dan tempoh perkhidmatan.

Ahmad Johnie Zawawi berkata, guru KAFA bukan sekadar mengajar pendidikan agama, tetapi turut membentuk akhlak dan sahsiah generasi masa depan negara.

“Kebajikan serta jaminan kerjaya mereka perlu diberikan perhatian serius,” katanya ketika membahas Belanjawan MADANI 2027 pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Selain itu, beliau mencadangkan kajian semula kadar elaun bulanan guru KAFA berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman dan tempoh perkhidmatan, khususnya bagi mereka yang bertugas di luar bandar dan pedalaman.

Ahmad Johnie berkata, penyediaan latihan perguruan, pensijilan serta laluan kemajuan kerjaya yang lebih tersusun bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan guru KAFA.

Ahmad Johnie turut meminta penjelasan mengenai jumlah guru KAFA di seluruh negara khususnya di Sarawak dan sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro, serta perkembangan Program Rintis KAFA Perdana.

“Kerajaan perlu meneliti skim lantikan tetap dan kadar elaun guru KAFA agar lebih setimpal dengan kelayakan, pengalaman serta tempoh perkhidmatan mereka, seiring peningkatan kos sara hidup,” tambahnya.

Dalam isu pendidikan luar bandar, beliau turut mencadangkan dana khas tahunan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi sekolah luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak.

Beliau berkata, perbezaan kemampuan mengumpul dana antara sekolah bandar dengan luar bandar serta kos pengangkutan dan pelaksanaan program pendidikan yang lebih tinggi memerlukan pertimbangan khusus.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan peruntukan berdasarkan lokasi, tahap kesukaran dan keperluan sekolah bagi memastikan murid luar bandar menikmati peluang pendidikan yang setara.