KUCHING: GIATMARA Negeri Sarawak terus membuktikan keberkesanan latihan teknikal dan vokasional (TVET) apabila mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan yang luar biasa sebanyak 99.8 peratus bagi tahun 2025.
Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA, Meor Mohd Khairy Meor Abdullah Zawawi berkata, pencapaian tinggi ini mencerminkan keupayaan institusi dalam melahirkan tenaga kerja yang berdisiplin, berdaya tahan, dan berjati diri teguh.
Berucap pada Majlis Graduasi GIATMARA Malaysia Ke-39 Negeri Sarawak di Dewan Wisma Melayu Sarawak hari ini, beliau menegaskan kekuatan sahsiah diri inilah yang membezakan graduan TVET dalam pasaran kerja masa kini.
Pada majlis berkenaan, seramai 928 pelatih dari seluruh Sarawak diraikan selepas berjaya menamatkan latihan, dengan 404 daripadanya hadir menerima sijil secara fizikal manakala enam graduan cemerlang dianugerahkan Anugerah Eksekutif.
Selain kadar kebolehpasaran, pencapaian GIATMARA Sarawak turut dislahkan menerusi saingan kemahiran apabila meraih dua pingat emas, empat perak, satu gangsa, dan tujuh Medallion of Excellence dalam WorldSkills Malaysia Sarawak 2025.
Kejayaan itu seterusnya melayakkan empat wakil dari GIATMARA Miri, Petra Jaya, Saratok, dan Kanowit beraksi ke peringkat akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026 dalam pelbagai bidang teknikal.
Bagi memastikan silibus kekal relevan, GIATMARA memperkukuhkan kerjasama industri bersama Modenas menerusi latihan penyelenggaraan motosikal elektrik di GIATMARA Kota Samarahan.
“Lima pelatihnya terus diserap bekerja dengan gaji premium,” katanya.
Mutu latihan antarabangsa turut terbukti menerusi kisah Selani Mahadi (graduan GIATMARA Santubong) yang kini bertugas sebagai jurukimpal profesional di Sepanyol dengan pendapatan mencecah RM16,000 sebulan.
Kejayaan berpendapatan tinggi ini turut dibuktikan oleh Ahmad Hijan Abdullah Jaini (graduan GIATMARA Miri) yang kini berkhidmat sebagai mekanik di Hon Seng Automobile & Service dengan meraih RM8,000 sebulan.
Bukan sekadar pencari kerja, graduan TVET juga muncul sebagai pencipta peluang pekerjaan seperti Faizul Nizan Let (Hamizan Arif Group Sdn Bhd) yang kini memimpin perniagaan pembinaan berpendapatan tahunan RM16.6 juta serta menggaji 30 pekerja tempatan.
Sulaiman Ibrahim yang membangunkan pusat servis kereta dengan jualan RM1.8 juta setahun, serta Ismail Hanizam Safri yang menguruskan perniagaan kafe dan restoran dengan jualan RM600,000 setahun.
Kisah kejayaan ikonik ketiga-tiga usahawan tempatan ini turut diabadikan dalam naskhah khas Permata Biru 2.0 sebagai sumber inspirasi dan panduan buat para graduan baharu.
