KUCHING: Jambatan Muara Lassa di Bahagian Mukah mengharumkan nama Sarawak apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Projek Berskala Besar bernilai melebihi RM100 juta pada Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan Jalan 2026.
Cawangan Komunikasi Korporat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pengiktirafan itu diberikan oleh Persatuan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) bagi menghargai kecemerlangan projek kejuruteraan jalan yang dilaksanakan di negara ini.
Penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi sempena Persidangan dan Pameran Jalan Raya Malaysia Ke-13 2026 serta Kongres Serantau Asia Pasifik Persekutuan Jalan Antarabangsa (IRF) Keenam
“Kejayaan ini turut memperlihatkan keupayaan JKR Sarawak apabila empat daripada sembilan projek yang berjaya memasuki senarai pendek pertandingan berkenaan merupakan projek di bawah seliaan jabatan itu.
“Selain Jambatan Muara Lassa, projek yang turut disenaraikan ialah Jambatan Marudi, Jambatan Sebauh serta Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kejayaan tersebut membuktikan kecekapan teknikal, komitmen dan sinergi antara semua pihak yang terlibat dalam perancangan, reka bentuk serta pembinaan Jambatan Muara Lassa, selain mencerminkan usaha berterusan menyediakan infrastruktur berkualiti.
“Kita merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan.
“Terima kasih kepada pasukan projek, perunding, kontraktor dan semua pihak yang menjayakan pembinaan jambatan ini. Ia juga menjadi pemangkin kepada JKR untuk terus mempertingkat standard serta mutu pelaksanaan projek demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
