Sarawak Kunto Federation wakili MALAYSIA IMAC 2026 di Korea

KUCHING: Seramai 22 atlet, pegawai pengiring dan teknikal dari Sarawak akan mewakili kontinjen negara dalam Pertandingan Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa 2026 (IMAC 2026) yang akan berlangsung dari 15 hingga 18 Oktober ini di Chungju, Korea.

Mereka antara kira-kira 200 peserta mewakili 39 kontinjen dari pelbagai organisasi seni bela diri dari keseluruhan 19 negara.

Negara lain yang terlibat ialah Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, Singapura, Uzbekistan, India, Indonesia, Iran, China, Kazakhstan, Ghana, Belanda, Bulgaria, Poland, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina dan Pakistan.

Pelepasan kontinjen Malaysia disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Pelbagai disiplin seni bela diri akan dipertandingkan termasuk Kunto Melayu Sarawak, Kuntau Iban, Kutow Bidayuh, Gumdo, Hapkido, Taekwondo, Tinju, Lethwei, Vo Co Truyen, Silat, Jang Sanati, Thang-Ta, Sqay, Zurkahneh, Wushu, Kuresi, Bulkempo, Arnis dan seni bela diri tradisional Maori.

Penganjuran acara ini bagi meraikan Hari Warisan Budaya Tidak Ketara Antarabangsa yang disambut pada 17 Oktober, dengan tema “Warisan yang Hidup: Seni Bela Diri Tradisional”.

Tema utamanya ialah “Cergas untuk Kehidupan” yang selari secara langsung dengan inisiatif global UNESCO untuk memperkasakan individu serta menggalakkan kesejahteraan melalui aktiviti fizikal dan sukan.

Selain itu, dalam menghadapi cabaran semasa yang turut dicirikan oleh konflik di peringkat global, perhimpunan pengamal seni bela diri dari seluruh dunia ini menjadi simbol perpaduan yang bermakna.

Ia turut mencerminkan komitmen bersama masyarakat antarabangsa dalam memupuk keharmonian dan keamanan sejagat.