KUCHING: Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) menjadi keutamaan Sarawak bagi memacu transformasi ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi amat penting bagi memastikan Sarawak mampu menghadapi perubahan ekonomi global serta cabaran pembangunan masa depan.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber tenaga termasuk hidro, solar, biojisim dan gas asli yang berpotensi dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi hijau.
“Penguasaan teknologi dan kepakaran dalam bidang berkaitan amat diperlukan bagi membangunkan ekonomi Sarawak.
“Perkembangan teknologi AI dan industri semikonduktor turut membuka peluang baharu yang memerlukan tenaga kerja berpengetahuan serta berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Swinburne Sarawak: Malam Bersama Alumni dan Rakan Strategik di Hotel Waterfront, di sini, malam ini.
Abang Johari yang juga Pro Cancelor Swinburne Sarawak menambah, penggunaan AI perlu digabungkan dengan kebijaksanaan manusia dalam membuat keputusan dan menghasilkan penyelesaian inovatif.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan dalam melahirkan lebih ramai pakar teknologi, penyelidik dan tenaga profesional bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Beliau turut menggalakkan graduan dan generasi muda memanfaatkan peluang pendidikan serta terus meningkatkan kemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Dr, Sim Kui Hian dan Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Naib Presiden (Pendidikan, Pengalaman dan Kebolehpasaran Graduan) merangkap Pendaftar Universiti Teknologi Swinburne, Ewan Evano turut hadir. – NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
