KUCHING: Pewartaan cuti umum di Sarawak perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kebajikan pekerja, kepentingan ekonomi negeri serta kelancaran perkhidmatan awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sebarang perubahan dasar cuti perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pekerja dan keperluan ekonomi.
Katanya, cuti umum mampu merancakkan sektor pelancongan, perhotelan dan peruncitan, namun pada masa sama boleh meningkatkan kos operasi sektor pembuatan, pembinaan serta perkhidmatan profesional.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan kerajaan mendapatkan pandangan wakil pekerja, majikan dan persatuan industri bagi menilai kesan ekonomi sebelum melaksanakan sebarang perubahan dasar cuti,” katanya ketika membahaskan
Rang Undang-Undang Hari Kelepasan Am (Pindaan)
2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Iskandar turut menekankan kepentingan pengumuman cuti umum dibuat lebih awal bagi membolehkan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), merancang jadual pekerja serta operasi perniagaan.
“Perkhidmatan penting termasuk kesihatan, keselamatan dan kecemasan perlu terus beroperasi dengan kebajikan petugas yang bekerja pada hari cuti umum sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya prosedur pewartaan cuti umum diseragamkan dan kriteria pengisytiharannya diperjelaskan sebelum menyatakan sokongan penuh terhadap rang undang-undang berkenaan.
