Cabaran muka bumi kekang perluasan bekalan elektrik Ngemah

KUCHING: Keadaan muka bumi yang mencabar, kesukaran mengakses tapak projek dan urusan mendapatkan kebenaran laluan antara kekangan utama dalam usaha memperluaskan liputan bekalan elektrik ke rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah.

Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, cabaran itu perlu ditangani bagi memastikan pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dapat diteruskan secara berperingkat.

Menurutnya, sebanyak RM13.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek RES Last Miles di kawasan berkenaan dalam usaha meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada kemudahan elektrik.

“Sejak 2020, sebanyak 49 rumah panjang melibatkan 751 isi rumah di kawasan Ngemah menerima bekalan elektrik menerusi Projek RES Last Miles,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anyi Jana (GPS- Ngemah) pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, usaha memperluaskan liputan bekalan elektrik itu akan diteruskan dengan lima lagi rumah panjang dijadual menerima kemudahan berkenaan secara berperingkat mulai suku pertama 2027.

Katanya, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada 82 isi rumah, sekali gus memperluaskan akses kepada bekalan elektrik di kawasan terbabit.