KUCHING: Sebanyak 5,775 lot tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 5,603 hektar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu siap diukur setakat 30 September lalu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sebanyak 4,136 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak didaftarkan dan penyerahannya dilaksanakan secara berperingkat.
“Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak meluluskan pengukuran lot individu bagi 16 kawasan yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Ini termasuk 13 kawasan seluas 32,733 hektar yang didokumentasikan oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Simon Sinang Bada (GPS-Tebedu) pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan sebanyak 1,706 surat hak milik tanah NCR diserahkan kepada pemilik di DUN Bukit Semuja menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu dan Program Pengukuran Kampung Tradisional.
Jumlah itu merangkumi 1,255 surat hak milik bagi tiga kawasan seluas 741 hektar serta 451 surat hak milik melibatkan tiga kampung tradisional seluas 21 hektar.
Len Talif turut menghargai peranan DBNA dalam mempercepatkan dokumentasi tanah NCR, namun menegaskan semua maklumat perlu disemak dan disahkan oleh JTS sebelum pewartaan serta pengeluaran surat hak milik dimuktamadkan.
