KUCHING: Cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak masih belum dapat dilaksanakan meskipun mendapat persetujuan secara prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan kerana beberapa proses perundangan dan perlembagaan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pelaksanaannya memerlukan persetujuan mengenai formula dan jumlah kerusi antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak serta Sabah sebelum pindaan Perlembagaan dibentangkan di Parlimen.
Menurutnya, sebarang pertambahan kerusi perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen mengikut Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, diikuti proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan Perkara 113 dan Jadual Ke-13.
“Selagi proses berkenaan belum dimuktamadkan, tiada kerusi Parlimen tambahan boleh diwujudkan secara sah. Justeru, SPR menyatakan bahawa tiada cadangan menambah kawasan pilihan raya Parlimen di Sarawak buat masa ini,” katanya ketika menjawab soalan Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek), pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Hasidah menjelaskan, tuntutan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen berasaskan komposisi asal ketika pembentukan Malaysia pada 1963, apabila Sarawak, Sabah dan Singapura secara keseluruhan memiliki 55 daripada 159 kerusi Dewan Rakyat, namun nisbah itu berubah selepas Singapura berpisah daripada Malaysia pada 1965.
Katanya, Sarawak kini mempunyai 31 kerusi Parlimen manakala Sabah 25 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan 56 daripada 222 kerusi atau kira-kira 25 peratus, sedangkan kedua-dua wilayah memerlukan 74 kerusi bagi mencapai nisbah satu pertiga berdasarkan jumlah kerusi semasa.
Beliau menjelaskan, tuntutan itu bukan sekadar meningkatkan bilangan wakil rakyat.
Sebaliknya katanya, memastikan keseimbangan kuasa dalam Persekutuan memandangkan Semenanjung Malaysia kini mempunyai 166 kerusi, melebihi majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan tanpa sokongan wakil rakyat Sabah dan Sarawak.
