KUCHING: Pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di Sarawak tanpa kelulusan Bahasa Melayu tetap diwajibkan memenuhi keperluan bahasa kebangsaan sebelum dianugerahkan diploma atau ijazah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, perkara itu jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 41(5) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Menurutnya, terdapat perbezaan antara syarat kemasukan ke IPT swasta dengan syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang pelajar menamatkan pengajian.
“Undang-undang tidak menetapkan kelulusan Bahasa Melayu sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta.
“Bagaimanapun, pelajar mesti memenuhi tahap penguasaan Bahasa Kebangsaan yang ditetapkan sebelum dianugerahkan diploma atau ijazah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan lanjut kepada media berhubung kelayakan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menikmati Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), di sini, hari ini.
Dr Annuar menjelaskan, pelajar yang belum memenuhi keperluan Bahasa Melayu perlu mengambil dan lulus kursus Bahasa Kebangsaan A di bawah Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) sepanjang tempoh pengajian mereka.
“Keperluan tersebut bukan hanya terpakai kepada penerima FTES.
“Sebaliknya melibatkan pelajar warganegara Malaysia di IPT swasta yang tertakluk kepada peruntukan berkenaan,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa anak Sarawak yang berjaya mendapat tempat dalam mana-mana 64 program pengajian ditawarkan di empat institusi terlibat layak menikmati FTES secara automatik.
Empat institusi berkenaan ialah Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia dan Kolej Universiti i-CATS.
Menurutnya, pelaksanaan FTES tidak mengetepikan kepentingan Bahasa Melayu.
Sebaliknya, tegasnya, ia memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian sambil memastikan mereka memenuhi keperluan Bahasa Kebangsaan sebelum bergraduasi.
Beliau turut menegaskan bahawa universiti berkenaan menyediakan sokongan pembelajaran bagi membantu pelajar memenuhi keperluan tersebut sepanjang tempoh pengajian.
“Jika mereka mampu lulus mata pelajaran lain, saya percaya mereka juga mampu lulus Bahasa Kebangsaan dalam tempoh pengajian yang diberikan,” katanya.
