Jejak warisan pendekatan pelihara sejarah, budaya Sarawak

KUCHING: Pelbagai usaha dipergiat bagi memelihara khazanah sejarah dan budaya Sarawak menerusi pembangunan jejak warisan, pendokumentasian sejarah tempatan serta penggunaan platform digital bagi menarik minat masyarakat dan pelancong.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, berkata pendekatan itu turut melibatkan komuniti dan pertubuhan berkaitan bagi memastikan warisan negeri direkod, dipelihara serta diperkenalkan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Allan Siden Gramong (GPS- Machan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Katanya, antara usaha berkenaan ialah pembangunan Jejak Warisan Betong yang merangkumi Betong, Saratok, Pusa dan Kabong, selain Jejak Warisan Miri yang dilancarkan pada 2025 selepas melalui penyelidikan serta perbincangan bersama pihak berkepentingan selama dua tahun.

“Di Kuching, inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) pula merangkumi empat komponen utama, iaitu warisan kampung, perniagaan bersejarah, kawasan tebingan sungai dan monumen bersejarah.

“Selain itu, menggunakan platform digital untuk memperluas akses maklumat kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, usaha dokumentasi turut merangkumi penerbitan buku berkaitan songket dan keringkam Sarawak serta warisan kampung di Kuching.

Majlis Kraftangan Sarawak juga mendokumentasikan kraf tradisional, termasuk keringkam dan gendang Melayu, bagi memastikan sejarah serta pengetahuan pembuatannya terus terpelihara.

Selain itu katanya, Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak menyediakan sokongan kepada inisiatif berkaitan, termasuk penerbitan buku Sejarah Kanowit oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekali gus memperkukuh usaha memelihara dan mempromosikan khazanah warisan negeri.