KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Bukit Sagan/ Nanga Merit/ Ulu Lubai, Batu Danau di Bahagian Limbang dijangka siap pada 12 Jun 2027.
Tempoh projek bermula 13 Jun 2025 membabitkan kerja penurapan jalan sepanjang 13.6 kilometer (km) dan pembinaan empat jambatan baharu membabitkan anggaran kos naiktaraf sebanyak RM44,548,676.50.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata kemajuan fizikal bagi projek setakat 25 September lalu sebanyak 37.24 peratus sebenar berbanding 43.36 peratus ikut jadual.
Katanya, kerja-kerja pembersihan tapak siap, manakala kerja-kerja tanah hampir siap. Kerja-kerja perparitan dan pembetung masih sedang dijalankan.
“Kerja-kerja jambatan, kerja-kerja cerucuk sedang dilaksanakan bagi keempat-empat jambatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dato Paulus Palu Gumbang (GPS- Batu Danau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Aidel berkata selepas siap, projek ini akan meningkatkan kesalinghubungan penduduk Ulu Lubai dengan tiga sekolah, empat rumah panjang dan sebuah klinik di sepanjang jalan tersebut dengan Bandar Limbang.
“Naik taraf jalan daripada jalan batu kepada jalan berturap akan memberikan perjalanan yang lebih selamat dan selesa,”tambahnya.
Katanya, kerja penambakan tanah untuk meningkatkan aras jalan juga dijangka dapat mengurangkan masalah banjir yang sering berlaku sebelum ini, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk dan aktiviti harian.
