KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa mengambil langkah berkesan dalam menangani tiga isu utama yang membelenggu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Isu itu termasuk gangguan bekalan air, kesukaran memiliki kediaman serta ancaman banjir kilat di Pekan Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menegaskan bahawa isu itu melibatkan keperluan asas serta keselamatan rakyat yang perlu diberi perhatian.
Mengulas isu bekalan air, beliau menarik perhatian Dewan mengenai gangguan air yang menjejaskan kawasan Kaba, Kali Kaba, Lubok Nibong, Perpat, dan Kampung Paloh akibat kejatuhan paras air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Lichok semasa musim kemarau September lalu.
“Kita tidak mahu penduduk terus berhadapan dengan gangguan bekalan air setiap kali musim kemarau melanda,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memohon Kementerian Utiliti melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi membina LRA baharu di Lubok Nibong yang memanfaatkan sumber air daripada Sungai Krian.
Mohamad Duri turut membangkitkan masalah kekurangan tanah untuk pembinaan rumah yang dihadapi oleh penduduk di 14 kampung sekitar Pekan Saratok.
Menurutnya, kesukaran mendapatkan tapak tanah yang sesuai mengehadkan impian kebanyakan keluarga untuk memiliki kediaman sendiri.
Bagi mengatasi isu ini, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan pembinaan projek perumahan kos rendah atau perumahan mampu mlik di Saratok.
Mengenai ancaman banjir kilat, beliau merujuk kejadian dua kali banjir pada 15 dan 27 September lalu yang menimbulkan kebimbangan serta kerugian harta benda penduduk.
Penilaian teknikal mendapati punca utama adalah kapasiti sistem perparitan dalaman yang tidak mampu menampung aliran air ketika hujan lebat.
Lantaran itu, beliau menggesa agar penyelesaian tidak hanya tertumpu kepada saluran utama, tetapi turut merangkumi pemeriksaan dan naik taraf longkang yang sempit atau cetek di kawasan dalaman secara berperingkat.
