32 peserta sertai MTQBB mulai 26 Oktober ini

KUCHING: Seramai 32 peserta dari sembilan bandar raya dan wilayah utama di Borneo bakal menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo (MTQBB) Tahun 1448H/2026M mulai 26 hingga 29 Oktober ini.

Bertemakan Ummah Maju Makmur, program itu akan berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching, melibatkan delegasi dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.

Menurut kenyataan media Majlis Islam Sarawak (MIS), seramai 17 peserta akan bertanding dalam kategori tilawah, terdiri daripada sembilan qari dan lapan qariah, manakala 15 peserta lagi menyertai hafazan 15 juzuk.

Antara bandar raya terlibat ialah Kuching, Miri, Kota Kinabalu, Bandar Seri Begawan, Pontianak, Banjarmasin, Samarinda, Palangkaraya dan Tanjung Selor.

Majlis perasmian dijadual disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, manakala penyampaian hadiah oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Program itu turut menampilkan Bicara Ilmuwan Se-Borneo, pameran sejarah Islam, pertandingan khat dan kuiz Al-Quran bagi memperkukuhkan ukhuwah Islamiah serta mengeratkan hubungan masyarakat Islam di Borneo.