Nikmat pembangunan, tiga projek RES perluaskan bekalan elektrik Daro

KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro merasai nikmat pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad yakin seluruh Sarawak turut merasai nikmat yang serupa dan pelbagai pembangunan dan kemajuan yang dilaksanakan Kerajaan GPS.

Untuk bekalan elektrik umpamanya, sebelum ini hanya sekitar 30 peratus kawasan Daro mempunyai bekalan elektrik, katanya.

Selebihnya hanya bergantung kepada ‘generator’ terutamanya bagi kawasan di pesisir sungai, katanya semasa membahas dan menyokong Belanjawan 2027 pada persidangan DUN di sini hari ini.

Beliau menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan pihak SEB selaku agensi pelaksana menggunakan dana Kerajaan Sarawak.

Kerajaan meluluskan peruntukan melalui tiga projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles
bagi membekalkan elektrik ke kawasan-kawasan di Daro.

Kawasan di Sungai Mawan, Tanjung Keling, Sebinjai, Serban, Nanga Lassa dan Sawai telahpun menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak 2 tahun yang lalu membabitkan peruntukan hampir RM21 juta, katanya.

Begitu juga dengan kawasan Batang Lassa di Daerah Matu dengan peruntukan sebanyak RM7.7 juta telahpun siap sebelum perayaan Gawai Dayak tahun lalu.

Manakala, kawasan yang paling jauh iaitu Nanga Passin, Matu yang mempunyai tujuh rumah panjang, sebuah klinik dan sebuah sekolah telahpun menikmati bekalan elektrik yang stabil mulai 16 Julai 2026 dengan kos projek berjumlah RM6 juta, katanya.

Dengan siapnya projek ini, tambahnya, semua kawasan N.43 Daro sudah mempunyai bekalan elektrik dan rakyat tidak lagi bergantung kepada generator yang membebankan.

Ini kerana katanya, terpaksa menanggung kos membeli diesel ataupun petrol sekitar RM500 hingga RM800 sebulan.

Penduduk, tegas beliau, kini hanya perlu membayar bil elektrik sekitar RM50 sebulan sahaja berbanding dahulunya lebih daripada RM500.

Bajet 2027 yang dibentangkan adalah sebagai bukti jelas bahawa Kerajaan GPS tidak mengamalkan politik toksik seperti yang pihak pembangkang amalkan dengan meracuni dan menghasut rakyat, tegas beliau.

Bajet 2027 meneruskan keutamaan pembangunan khususnya bagi kawasan luar bandar serta bersifat ‘people centric’ yang inklusif melibatkan seluruh lapisan masyarakat, katanya.