KUCHING: Jawatankuasa Pembangunan Kedaya Telang Usan mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Kunjungan diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala itu melibatkan wakil Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM), ketua masyarakat dan ketua kaum.
Kunjungan itu bagi membincangkan persiapan perasmian Pusat Kebudayaan FORUM di Miri yang akan dirasmikan Premier Sarawak pada awal November depan.
Pembangunan pusat kebudayaan itu mendapat sokongan Kerajaan Sarawak menerusi pemberian tanah seluas lima hektar serta peruntukan berkaitan selepas Premier menyempurnakan majlis pecah tanah projek berkenaan pada Disember 2020.
Selain itu, Jawatankuasa Pembangunan Kedaya Telang Usan turut menyampaikan aspirasi masyarakat, khususnya berkaitan keperluan pembangunan infrastruktur asas, peningkatan jaringan jalan raya, kemudahan perhubungan serta aspek pembangunan komuniti luar bandar.
Kunjungan tersebu memperkukuhkan kerjasama antara kepimpinan masyarakat dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan penduduk pedalaman terus diberikan perhatian.
