KUCHING: Permit penyimpanan karbon dioksida (CO₂) hanya boleh ditamatkan selepas tempoh minimum 20 tahun daripada tarikh penutupan tapak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, berkata ini juga tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan.
“Penamatan permit penyimpanan tertakluk kepada Pihak Berkuasa berpuas hati bahawa CO₂ yang disimpan kekal terkandung secara selamat dan kekal, serta semua syarat dan tanggungjawab yang ditetapkan dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (GPS-Tupong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Hazland berkata, selepas permit penyimpanan ditamatkan, tanggungjawab bagi pemantauan berterusan dan pelaksanaan langkah pembetulan beralih kepada pemegang lesen.
Namun, katanya pengguna storan masih menanggung liabiliti bagi sebarang kebocoran, kerosakan atau ketidakpatuhan terdahulu yang berpunca daripada pihaknya.
Tambahnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Tanah (Penyimpanan Karbon) 2022, pengguna storan kekal bertanggungjawab terhadap pemantauan selepas penutupan tapak.
Menurutnya ketetapan ini memastikan kesinambungan tanggungjawab terhadap integriti dan keselamatan tapak penyimpanan untuk jangka panjang.
