KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 diyakini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat menjelang 2030.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, langkah itu sekali gus mampu merapatkan jurang pembangunan di antara bandar dan luar bandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, menambah, peruntukan RM6.4 bilion atau 64 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan kepada kawasan luar bandar membuktikan keutamaan kerajaan.
“Peruntukan itu akan memperluaskan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Pembangunan menyeluruh penting bagi meningkatkan pendapatan isi rumah dan ia juga bagi merealisasikan sasaran Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau menyifatkan Belanjawan 2027 antara yang terbaik dan komprehensif.
Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat sejak 2011, penekanan terhadap pembangunan pedalaman membuktikan komitmen kerajaan.
Dalam masa sama, jelasnya, penekanan itu memastikan manfaat pembangunan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) turut menyambut baik kelulusan peruntukan yang dipohon agensi itu.
“Peruntukan berkenaan akan digunakan bagi mempergiatkan promosi pelancongan antarabangsa dan saya yakin sasaran 5.1 juta pelawat ke Sarawak pada 2027 mampu dicapai.
