KUCHING: Sebanyak 11 entiti kini terlibat dalam usaha perdagangan kredit karbon hutan di Sarawak, dengan tiga daripadanya sudah memperoleh Lesen Karbon Hutan bagi kawasan berjumlah 56,806 hektar.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, dua lesen baharu diluluskan kepada pemegang projek, manakala satu lagi masih dalam proses validasi oleh badan yang diiktiraf di bawah piawaian karbon antarabangsa.
Beliau berkata, lapan entiti lain diberikan Permit Kajian Karbon membabitkan kawasan seluas 179,327 hektar bagi membolehkan kajian serta penyediaan dokumen reka bentuk projek dilaksanakan.
“Dokumen Reka Bentuk Projek Sarawak (SPDD) itu merupakan antara syarat yang perlu dipenuhi sebelum permohonan Lesen Karbon Hutan diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Simon Sinang (GPS-Tebedu), pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Bagi kawasan Daro pula, satu Permit Kajian Karbon sudah dikeluarkan untuk pelaksanaan projek karbon biru, tidak termasuk kawasan Paloh dan Serdeng.
Len Talif berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang permohonan bagi pelaksanaan projek berkenaan di kawasan Daro.
