KUCHING: Sarawak Energy memperuntukkan RM73 juta bagi melaksanakan projek penambahbaikan infrastruktur bekalan elektrik di Bahagian Betong, termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan Petros), Datuk Ibrahim Baki berkata, ia bagi meningkatkan kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan kepada pengguna.
Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik turut dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuhkan rangkaian pengagihan elektrik di bahagian berkenaan.
Menurutnya, projek pertama melibatkan pembinaan Pencawang Kabong/Roban 33/11kV, manakala projek kedua merangkumi pembinaan talian elektrik 33kV jenis monopole yang menghubungkan Serudit ke Saratok.
“Projek ketiga pula membabitkan pembinaan talian elektrik 33kV menggunakan teknologi Konduktor Bersalut Voltan Sederhana (MVCC) dari Saratok ke Simpang Kabong.
“Manakala, projek keempat melibatkan pemasangan talian 33kV menggunakan teknologi sama dari Serudit ke Pusa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Duri (GPS-Kalaka) pada persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan keempat-empat projek itu dijangka meningkatkan keupayaan sistem bekalan elektrik bagi menampung pertambahan permintaan pada masa hadapan.
Ibrahim menjelaskan, projek penambahbaikan di DUN Kalaka di bawah peruntukan Sarawak Energy turut melibatkan pembinaan Pencawang Plassu 33/11kV bernilai RM1.07 juta, naik taraf transformer di Kabong, Ulu Krian dan Nanga Assam (RM1.04 juta).
Selain itu, penambahbaikan talian elektrik atas di Nyabor, Sessang, Kabong dan Kampung Gerigat (RM1.13 juta).
Katanya, penggunaan talian MVCC berpenebat berbanding talian sedia ada yang tidak berpenebat mampu mengurangkan gangguan bekalan elektrik akibat cuaca buruk, sambaran kilat, haiwan dan sentuhan tumbuhan, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di kawasan terlibat.
