Permohonan permit CSP perlu dikemuka kepada pengarah hutan

KUCHING: Permit Kajian Karbon Hutan (CSP) adalah penting kerana ia membolehkan pelaksanaan kajian awal secara menyeluruh sebelum lesen karbon hutan dikeluarkan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh
berkata, melalui permit ini, pihak pemaju dapat menilai daya maju projek dari segi teknikal, termasuk potensi penyerapan dan pelaporan karbon serta menentukan kesesuaian kawasan projek karbon hutan.

Katanya, kajian ini turut merangkumi aspek ekonomi bagi memastikan projek berpotensi menjana pulangan yang munasabah dalam pasaran karbon.

“Dari sudut pematuhan, penyediaan Dokumen Reka Bentuk Projek (SPDD) dalam fasa ini membantu memastikan projek memenuhi keperluan standard karbon antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Safiee Ahmad (GPS-Daro) mengenai status pelaksanaan Projek Karbon Biru di Paloh dan Serdeng serta sama ada kawasan Daro turut dipertimbangkan untuk pelaksanaan projek seumpamanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai kriteria permohonan Permit Kajian Karbon Hutan di kawasan Daro, beliau berkata, permohonan permit berkenaan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Hutan.

Katanya, kawasan yang dipohon juga mestilah mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 100 hektar.