KUCHING: Kerajaan Sarawak mengeluarkan dua lagi Lesen Karbon Hutan bagi memperkukuhkan usaha pemuliharaan hutan, pengurusan sumber secara mampan serta pembangunan ekonomi hijau negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, lesen berkenaan diberikan kepada Lembaga Amanah Kemajuan Islam Kuala Rejang (LAKIKR) dan Shin Yang Sdn Bhd.
Menurutnya, LAKIKR menerima lesen bagi kawasan hutan bakau seluas 4,788.2 hektar di Tanjung Manis.
Manakala, Shin Yang Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas 26,353 hektar di Jalin Forest Carbon Area, Ulu Baram, ujarnya.
Projek LAKIKR merupakan projek karbon biru pertama di Sarawak yang menerima Lesen Karbon Hutan.
“Ini sekali gus memperlihatkan potensi ekosistem hutan bakau dalam penyerapan dan penyimpanan karbon.
“Projek Jalin pula memberi tumpuan kepada peningkatan pengurusan dan pemuliharaan sumber hutan secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa majlis penyerahan Lesen Karbon Hutan dari Jabatan Hutan Sarawak (JHS) kepada dua agensi tersebut, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad, Bendahari LAKIKR, Bajuri Jauji dan Pengarah Eksekutif Shin Yang Sdn Bhd, Andy Wong Ko Hock.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 11 entiti mendapat kelulusan bagi aktiviti karbon hutan.
Ujarnya, tiga daripadanya memiliki lesen melibatkan kawasan keseluruhan seluas 56,806 hektar.
Beliau menegaskan, pemberian lesen tidak bermakna projek berkenaan boleh terus menjana atau memperdagangkan kredit karbon.
Sebaliknya, ujarnya, setiap projek perlu memenuhi piawaian karbon yang ditetapkan, termasuk melalui proses validasi dan verifikasi oleh badan yang diiktiraf.
“Inisiatif karbon hutan turut berpotensi menarik pelaburan hijau.
“Ini juga melindungi biodiversiti serta mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti setempat,”katanya.
Tambah beliau, usaha itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dan Belanjawan Sarawak 2027 yang menekankan pembangunan ekonomi hijau.- NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI
