DUN Telang Usan perlukan jambatan baharu, asrama pelajar

KUCHING: Kerajaan Sarawak dimohon agar membina jambatan baharu Long San dan kemudahan asrama pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Atip di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata pembinaan jambatan baharu Long San merentasi Sungai Baram itu perlu kerana jambatan separuh konkrit sedia ada telah dibina syarikat pembalakan lebih 30 tahun lalu menjadi laluan perhubungan penting di Baram.

“Telang Usan yakin bahawa projek ini wajar, boleh dilaksanakan dan mempunyai justifikasi kuat untuk dipertimbangkan dalam program pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Persidangan DUN Sarawak, di sini, baru-baru ini.

Dennis juga memohon menyediakan kemudahan asrama pelajar luar di SK Long Atip berikutan sejak tiga tahun lalu, penduduk rumah panjang mengumpul sumber kewangan untuk menyokong lebih 20 anak-anak luar kawasan.

“Kebanyakan mereka kaum Penan bersekolah di SK Long Atip,” katanya.

Beliau menjelaskan, komuniti berkenaan membelanjakan purata kira-kira RM3,500 sebulan bagi menampung keperluan anak-anak tersebut.