Geran SYStartUP tawar bantuan sehingga RM15,000 kepada usahawan belia

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak boleh memohon bantuan geran permulaan perniagaan sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP, tertakluk kepada syarat dan kelulusan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, kementerian turut menyediakan kemudahan pinjaman mudah menerusi kerjasama dengan Affin Bank berjumlah RM25 juta.

“Bantuan kewangan, bimbingan teknikal dan sokongan pemasaran disediakan bagi membantu usahawan belia memulakan perniagaan serta memastikan kelangsungan operasi mereka,” katanya menjawab soalan Dr Safiee Ahmad (GPS-Daro) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurutnya, peserta turut menerima bimbingan berkaitan pendaftaran dan pelesenan, pengurusan kewangan serta penyediaan rancangan perniagaan, termasuk pemantauan susulan untuk mengenal pasti cabaran perniagaan.

Dalam pada itu, kementerian mewujudkan Hab SYStartUP pertama di Sarawak sebagai pusat rujukan dan jaringan usahawan belia bagi mendapatkan maklumat program keusahawanan, peluang pembiayaan serta khidmat bimbingan.

Dr Ripin berkata, kementerian turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menubuhkan jawatankuasa khas.

Jawatankuasa itu bagi menyelaras penglibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pembangunan syarikat pemula serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kerjasama ini bertujuan membuka lebih banyak peluang bimbingan industri, padanan perniagaan, akses pasaran dan kerjasama strategik untuk membantu usahawan belia membangunkan perniagaan mereka,” tambahnya.

Menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS- Lingga), beliau berkata, kelemahan perancangan perniagaan, pengurusan kewangan, kekurangan pengalaman serta kesukaran mendapatkan pembiayaan dan pasaran antara faktor yang menjejaskan daya maju usahawan belia.

Beliau turut menyatakan bahawa penggunaan teknologi dan pemasaran digital yang terhad serta kegagalan menyesuaikan perniagaan dengan perubahan permintaan pasaran boleh menjejaskan perkembangan perniagaan.

Sementara itu, belia kurang menceburi sektor pertanian dan penternakan disebabkan tanggapan bahawa bidang itu memerlukan kerja fizikal berat, modal permulaan tinggi dan tempoh pulangan yang lama selain cabaran mendapatkan tanah, teknologi serta akses pasaran.

Katanya, sektor berkenaan mempunyai potensi untuk diusahakan secara moden dan komersial melalui penggunaan teknologi serta sokongan latihan, pembiayaan dan pemasaran bersesuaian.