Belanjawan Sarawak 2027 beri manfaat kepada rakyat

KUCHING: Pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 mencerminkan kesinambungan dasar Kerajaan Sarawak yang menekankan pembangunan negeri ini sejak 2017.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ini dengan hampir 70 peratus peruntukan belanjawan itu disalurkan kepada pembangunan ketika dibentangkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

“Manakala sekitar 30 peratus bagi perbelanjaan operasi,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan itu juga disifatkan sebagai menyeluruh kerana memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat menerusi pendidikan, kebajikan dan infrastruktur serta penekanan terhadap pembangunan masyarakat.

Len Talif sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas pembentangan belanjawan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat, termasuk penduduk Kuala Rajang.

Sementara itu, penduduk kawasan DUN Kuala Rajang, Misiah Abu Seman amat bersyukur dengan belanjawan itu dan berharap lebih banyak peruntukan pembangunan disediakan pada masa akan datang.

“Peruntukan lebih besar diperlukan bagi meningkatkan pembangunan dan ekonomi penduduk luar bandar,”katanya.

Bagi Fakhrur Rezuan Mahamad pula, belanjawan Sarawak 2027 disifatkan berorientasikan rakyat kerana memberi penekanan terhadap kesejahteraan dan peningkatan taraf hidup masyarakat.

“Pelbagai bantuan yang diumumkan, khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan infrastruktur, dilihat mampu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, belanjawan tersebut turut mengambil kira keperluan penduduk bandar dan luar bandar tanpa mengira golongan usia.