Graduan FTES bebas bekerja di luar negara

KUCHING: Graduan yang menerima manfaat pendidikan tinggi percuma Kerajaan Sarawak (FTES) tidak terikat berkhidmat di negeri ini selepas menamatkan pengajian.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak ( MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada graduan menimba pengalaman dan meningkatkan kepakaran mereka sebelum kembali menyumbang kepada pembangunan negeri.

Menurutnya, kejayaan graduan Sarawak mendapat pekerjaan di luar negara turut mencerminkan kualiti pendidikan yang ditawarkan institusi pengajian tinggi tempatan.

“Kerajaan negeri berharap pengalaman dan pengetahuan graduan dapat dimanfaatkan.

“Ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir serta menyokong pertumbuhan industri di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Katanya, kepulangan golongan profesional berkemahiran tinggi pada masa hadapan mampu memperkukuhkan pembangunan modal insan negeri.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan kejayaan anak Sarawak membina nama di persada dunia sebagai satu pencapaian yang membanggakan negeri.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed.