Inisiatif Alumni Prihatin UNIMAS bantu pelajar OKU

KOTA SAMARAHAN: Sumbangan alumni menerusi inisiatif Alumni Prihatin bagi penyediaan van khas Orang Kelainan Upaya (OKU) mencerminkan komitmen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terhadap pendidikan inklusif.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato Dr Ahmad Hata Rasit berkata, kemudahan itu dapat membantu memudahkan pergerakan pelajar OKU ke kuliah dan lokasi aktiviti lapangan.

“UNIMAS ialah universiti inklusif yang memberi peluang kepada pelajar OKU melanjutkan pengajian.

“Van ini dapat memudahkan pergerakan mereka dari satu tempat ke tempat lain, termasuk ke kuliah dan lokasi aktiviti lapangan,” katanya ketika ditemui media sempena Malam Anugerah Ikon Alumni UNIMAS 2026, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, van berkenaan akan dilengkapi kemudahan khas bagi membantu pelajar OKU menaiki kenderaan dengan lebih mudah.

“Kita akan menggunakan van ini untuk memenuhi keperluan pelajar OKU di dalam dan luar kampus.

“Buat masa ini, kita menyasarkan sebuah van terlebih dahulu,” tambahnya.

Menurut beliau, UNIMAS mempunyai pelajar OKU terdiri daripada individu dengan ketidakupayaan fizikal, penglihatan dan pendengaran.

Usaha itu mencerminkan kepentingan penyediaan akses dan kemudahan bersesuaian bagi memastikan pelajar OKU turut mendapat peluang melanjutkan pengajian di universiti.

Selain sumbangan tersebut, UNIMAS turut menggalakkan alumni menyumbang kepakaran, memberikan nasihat kepada pelajar serta membuka peluang pekerjaan kepada graduan.