Projek RTB Kuching dijadual bermula 2027

KUCHING: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandaraya Kuching Fasa Kedua bakal memberi perlindungan kepada lebih 470,000 penduduk apabila siap nanti.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, projek bernilai RM2.48 bilion itu diluluskan di bawah Rancangan Pembangunan Pertama 2026 membuktikan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam menangani cabaran perubahan iklim dunia.

“Ia merupakan projek mega menyaksikan pelaburan penting bagi memperkukuh sistem perlindungan banjir di bandar raya ini,” katanya menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, projek itu melibatkan pembinaan pintasan Sungai Sarawak sepanjang enam kilometer (km) merangkumi kawasan seluas 47,264 hektar di sekitar bandar raya ini.

Pelaksanaan fizikal projek berkenaan dijadual bermula pada 2027 hingga 2033, manakala sesi Penilaian Nilai dan Kejuruteraan Nilai akan diadakan pada awal November ini.

Beliau sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof atas usaha mendapatkan peruntukan Persekutuan bagi merealisasikan projek berskala besar itu.

Kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual,” katanya.