KUCHING: Sebanyak 157 unit rumah mampu milik di Sarawak bakal dilengkapi sistem tenaga solar dengan Kerajaan Sarawak menanggung 50 peratus daripada kos pemasangan keseluruhan berjumlah RM4.553 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif itu melibatkan sebahagian daripada 402 unit rumah mampu milik yang sedang giat dibina dan dijangka siap pada suku kedua 2027.
“Sebanyak 157 unit rumah daripada 402 unit tersebut akan dilengkapi dengan sistem tenaga solar dengan kos pemasangan berjumlah RM4.553 juta.
“Kerajaan Sarawak akan menanggung 50 peratus daripada kos pemasangan tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata demikian ketika penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Menurutnya, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menyasarkan pembinaan 1,410 unit rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan anggaran kos keseluruhan RM524.9 juta.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut meluluskan peruntukan sebanyak RM213.35 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi melaksanakan projek perumahan berkenaan.
