Premium tanah lot kediaman Sarawak dihad RM2,500

KUCHING: Rakyat Sarawak yang memperoleh lot kediaman menerusi Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) hanya perlu membayar premium tanah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bayaran itu boleh dibuat secara ansuran sehingga 10 tahun.

“Kerajaan membelanjakan antara RM120,000 hingga RM150,000 bagi setiap lot untuk menyediakan infrastruktur lengkap sedangkan premium tanah yang dikenakan kepada rakyat tidak melebihi RM2,500,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan DUN, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 306 skim diwujudkan sehingga 30 September lalu menyediakan 51,973 lot kediaman di seluruh negeri.

Katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak 32 projek SPS dan SPK diluluskan melibatkan 2,896 lot kediaman dengan kos RM278.1 juta.

Kerajaan turut menyediakan kemudahan pinjaman perumahan menerusi Mutiara Mortgage dan Credit Sdn. Bhd dengan kadar faedah serendah satu peratus bagi golongan B40 dan tiga peratus bagi M40.

“Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri dengan kos yang lebih mampu ditanggung,” tambahnya.