Kempen lebihkan makan buah-buahan tempatan meriahkan penutupan Sidang DUN Sarawak

KUCHING: Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan memeriahkan penutupan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.

Kempen anjuran Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Program itu bertujuan mempromosikan buah-buahan, produk ternakan dan agromakanan tempatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN), petugas dan pelawat di DUN Sarawak sempena Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19.

Kempen itu juga menggalakkan pengambilan hasil tempatan yang berkhasiat dan menyokong petani, penternak dan pengusaha tempatan.

Antara buah yang dipamerkan ialah durian isu, nanas, buah salak, jambu batu dan pisang. Turut ditampilkan pelbagai produk makanan tempatan seperti kuih edram, kerepek dan air kelapa.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mengiringi Premier melawat reruai pameran produk tempatan.