KUCHING: Sejumlah projek pembangunan dan menaik taraf jalan raya serta jambatan di beberapa kawasan di Sarawak kini berada di peringkat pelaksanaan, termasuk pembinaan, penilaian tender, pengambilan tanah dan perancangan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah Jalan SK Sungai Liuk–Kuala Balingian Fasa Tiga dan projek rakyat membina semula Jambatan Penakub Ulu di Mukah.
Beliau berkata, Projek Naik Taraf Jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau pula mencatat kemajuan fizikal 61.53 peratus dan dijangka siap pada September 2027.
“Bagi kawasan Bau, cadangan menaik taraf Jalan Kuching–Bau kini dalam proses pengambilan tanah, manakala kerja menaik taraf jalan dari Simpang Bau–Lundu ke Pekan Bau sedang dilaksanakan dengan kemajuan fizikal 20.95 peratus setakat 25 September 2026,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, projek jalan alternatif ke Skim Petanak di kawasan Tellian telah mencapai kemajuan 64.23 peratus dan dijangka siap pada suku ketiga 2027.
“Di kawasan Lundu, projek pembinaan Jalan Kampung Kendaie/Selampit mencatat kemajuan 54.64 peratus dan dijangka siap pada suku keempat 2027, manakala Jambatan Selampit mencapai kemajuan 42.12 peratus dengan sasaran siap pada suku kedua 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementerian beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini
Dalam perkembangan lain, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, reka bentuk projek menaik taraf jalan bekas pembalakan di Telang Usan dan Mulu, Baram, Miri telah siap dan pelaksanaannya dijangka bermula pada suku pertama 2027.
“Projek sepanjang kira-kira 30.21 kilometer (km) itu merangkumi pembinaan serta menaik taraf jalan dan sembilan jambatan dengan anggaran kos RM260 juta,” ujarnya.
Bagi kawasan Sarawak lain, katanya lagi, projek pembinaan jambatan konkrit di Batang Kerang yang menghubungkan Kampung Penyabah dengan Kampung Kuala kini berada pada peringkat tender.
“Manakala projek naik taraf Jalan Serandong, Perpat, Batang Maro dan Paloh sedang melalui proses pengambilan tanah dengan pembinaan dijangka bermula pada Disember 2026,” jelasnya.
Uggah menjelaskan, cadangan pembinaan jalan penghubung dari Jambatan Konkrit Bertetulang merentasi Sungai Batang Ai, Merebong ke Pekan Engkelili, Bukit Tungku dan Klampo, Lubok Antu diluluskan kerajaan dan dijangka siap pada suku pertama 2028.
“Sementara itu, enam projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi kawasan Sri Aman dan Lubok Antu, dengan tiga projek sedang dalam pembinaan dan tiga lagi pada peringkat perancangan.
“Bagi pembangunan kemudahan pelabuhan, dokumen tender projek pembinaan dermaga komersial konkrit bertetulang di Sungai Nyelong, Sarikei telah siap dan projek itu dijangka ditender pada suku keempat 2026,” kata beliau lagi.
Beliau berkata, kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan meneliti permohonan baharu berkaitan projek jalan raya, jambatan, lampu jalan solar dan pembangunan lain yang dikemukakan bagi beberapa kawasan di seluruh negeri.
