KUCHING: Jangkaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada Disember ini masih menjadi tanda tanya apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg belum memberikan sebarang petunjuk mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Meskipun pelbagai spekulasi timbul mengenai kemungkinan pilihan raya diadakan sebelum penghujung tahun, Abang Johari berkata, beliau sendiri masih belum mengetahui bila DUN Sarawak akan dibubarkan.
“Sampai sekarang pun saya masih belum tahu bila tarikh pembubaran DUN. Bagaimanapun, tempoh memang sehingga Februari 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.
Kenyataan itu menyusul selepas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini menjangkakan PRN Sarawak ke-13 akan berlangsung pada Disember.
Bagaimanapun, jangkaan Abdul Karim itu bukan pengumuman rasmi tarikh pilihan raya, sebaliknya pandangan beliau mengenai kemungkinan masa pelaksanaannya.
Setakat ini, tarikh pembubaran DUN Sarawak yang akan membuka laluan kepada PRN ke-13 masih belum diumumkan.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menegaskan bahawa usaha memakmurkan Sarawak akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati generasi akan datang.
Beliau menyifatkan Sarawak sebagai rumah bersama yang perlu terus dibangunkan supaya rakyat dapat menikmati kehidupan aman dan damai.
“Ini rumah kita, jadi kita membina rumah ini supaya penghuninya sentiasa hidup dalam keadaan aman dan damai.
“Kita berharap agar semua dikurniakan umur panjang agar dapat menyaksikan segala pembangunan dan kemajuan yang bakal dikecapi negeri ini kelak,” katanya.
Sebagai rekod, PRN Sarawak ke-12 berlangsung pada 18 Disember 2021, menyaksikan GPS memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
