KUCHING: Orang ramai diminta tidak menyebarkan video insiden melibatkan seorang remaja di sebuah sekolah di sini, bagi menjaga privasi, maruah dan kesejahteraan individu berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keselamatan guru dan pelajar perlu sentiasa menjadi keutamaan manakala sebarang insiden keganasan atau penggunaan senjata mesti ditangani sewajarnya.
“Media sosial tidak seharusnya menjadi platform untuk memalukan seseorang secara terbuka atau menjatuhkan hukuman berdasarkan pandangan orang ramai.
“Orang ramai perlu mengelakkan spekulasi dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Beliau berkata, isu berkenaan perlu ditangani dengan penuh pertimbangan dan belas ihsan memandangkan remaja terbabit masih dalam proses tumbesaran dan perkembangan.
Pada masa sama, katanya memerlukan bimbingan serta sokongan bersesuaian.
“Setiap kanak-kanak berhak berasa dihargai, didengari dan mendapat sokongan.
“Apabila seseorang remaja meluahkan rasa kesunyian kita perlu membantu mereka mendapatkan sokongan yang diperlukan, bukannya menambahkan rasa terasing,” tambahnya.
Fatimah turut mengingatkan bahawa penyebaran video insiden berkenaan boleh menyebabkan tekanan emosi, mendedahkan individu terlibat kepada gangguan dalam talian serta menjejaskan privasi dan maruah mereka.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan guru dan pelajar perlu terus dipelihara, sementara remaja yang berhadapan dengan kesukaran wajar diberikan peluang untuk mendapatkan bantuan dan sokongan agar dapat meneruskan kehidupan secara positif.
