Kejayaan johan qariah antarabangsa inspirasi generasi muda

KUCHING: Kejayaan Ustazah Nur Syakura Muhamad Musa meraih gelaran Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-66 Tahun 1448H/2026M mendapat penghargaan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menzahirkan penghargaan itu semasa menerima kunjungan hormat Nur Syakura di Astana Negeri Sarawak hari ini bagi mempersembahkan trofi kemenangannya.

Turut serta isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Datu Mual Suaud dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS), Ustaz Mohamad Shalahudin Marzuki.

Nur Syakura yang bertugas sebagai Penyelia Guru Al-Quran di Pusat Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak, meraih gelaran berprestij itu pada pertandingan yang berlangsung di Dewan Merdeka WTC KL, baru-baru ini.

Menurut Tun Pehin Sri, pencapaian tersebut mencerminkan potensi anak Sarawak untuk menyerlah dalam bidang tilawah Al-Quran di peringkat antarabangsa.

Kejayaan beliau bukan sahaja menjadi kebanggaan Sarawak, malah diharap dapat menyuntik inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendalami, menghayati dan memperkukuh penguasaan ilmu al-Quran. – UKAS