KUCHING: Selepas berakhirnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 Rabu lalu, kini perhatian beralih kepada kemungkinan pembubaran dewan itu yang bakal membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Spekulasi mengenai pembubaran DUN semakin mendapat perhatian susulan jemputan sidang media khas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang dijadual berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, pada jam 3.30 petang ini.
Bagaimanapun jemputan yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Media dan Pemantauan Isu, Pejabat Premier Sarawak, pagi ini tidak menyatakan tujuan sidang media berkenaan.
Sehubungan itu, sidang media khas Abang Johari petang ini menjadi tumpuan bagi mendapatkan kepastian mengenai kemungkinan pembubaran DUN Sarawak dan pelaksanaan PRN13.
Menurut laporan terdahulu, DUN Sarawak dijangka dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini dengan pengumuman mengenainya dijangka dibuat selepas Premier menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mengikut proses perlembagaan, pembubaran DUN memerlukan perkenan Yang di-Pertua Negeri sebelum perkara itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan urusan pilihan raya dilaksanakan.
SPR seterusnya akan menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi bagi PRN13. Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Sekiranya pembubaran berkuat kuasa pada 26 Oktober, antara tarikh yang diperkatakan sebagai kemungkinan hari pengundian ialah 5, 12 atau 19 Disember 2026.
PRN-13 juga dijangka kekal mempertandingkan 82 kerusi DUN berikutan proses kajian semula persempadanan bagi 17 kerusi baharu dijangka tidak dapat diselesaikan sebelum pilihan raya diadakan.
Untuk rekod Pada PRN Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
