Premier adakan pertemuan dengan CEO Softbank di Tokyo, perkukuh kerjasama AI

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SoftBank Group, Masayoshi Son di Tokyo, Jepun, malam semalam.

Langkah itu sebagai usaha berterusan memperkukuh hubungan dengan konglomerat teknologi Jepun itu serta rakan pelaburannya.

Premier bersama anggota delegasi beliau berlepas ke Tokyo pagi semalam dan tiba di ibu negara Jepun itu pada jam 4 petang waktu tempatan.

Pertemuan malam semalam itu, turut menghimpunkan wakil daripada SoftBank Group, Grab Holdings Limited dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), yang menjalinkan kerjasama strategik bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Sarawak.

Ketiga-tiga pihak sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) secara maya pada 9 November lalu, susulan pemeteraian Perjanjian Kerangka Kerja di Sarawak, 8 Oktober lalu.

JDA itu menandakan fasa seterusnya dalam kerjasama berkenaan, sekali gus memperkukuh perancangan untuk membangunkan infrastruktur AI berskala besar di Sarawak menerusi gabungan keupayaan teknologi SoftBank Group dan Grab serta kepakaran PETROS dalam pembangunan tenaga dan infrastruktur.

Di bawah perancangan tersebut, rakan strategik berkenaan mencadangkan pelaburan permulaan gabungan berjumlah AS$1 bilion (kira-kira RM4.07 bilion), merangkumi AS$800 juta daripada SoftBank Group, manakala Grab dan PETROS masing-masing menyumbang AS$100 juta.

SoftBank Group akan menerajui projek itu serta memegang pegangan majoriti, sementara Grab dan PETROS akan menyertai sebagai rakan strategik bagi menyokong aspirasi jangka panjang projek tersebut untuk mencapai kapasiti pengkomputeran AI sebanyak lima gigawatt.

Pelaburan yang dicadangkan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada pencapaian sasaran pembangunan, komitmen kontrak pelanggan serta pemenuhan syarat-syarat penyempurnaan yang diperlukan.

Pada masa sama, rakan strategik berkenaan akan turut berusaha mendapatkan pelabur tambahan dan pelanggan daripada kalangan syarikat penyedia perkhidmatan awan berskala besar.

PETROS, selaku wakil kepentingan Sarawak dalam kerjasama itu, akan menyumbang kepakarannya menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (Sarawak Gas Roadmap) serta peranannya sebagai Pemaju Utama Hab Rendah Karbon Kuching.

Inisiatif berkenaan akan memperkukuh infrastruktur tenaga dan perindustrian negeri bagi menyokong perkembangan industri baharu yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Sumber tenaga Sarawak serta kapasiti penjanaan elektrik sedia ada menyediakan asas kukuh bagi pembangunan infrastruktur AI berskala besar, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara AI 2030 serta pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) negeri.

Apabila mula beroperasi kelak, kemudahan tersebut dijangka menjadi antara pembangunan infrastruktur AI terbesar seumpamanya di Asia.

Ia akan menyediakan keupayaan pengkomputeran termaju kepada kerajaan, syarikat multinasional dan sektor perniagaan, selain mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta bernilai tambah kepada rakyat Sarawak.

Turut mengiringi Premier ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki serta Ketua Pegawai Eksekutif PETROS, Dato Janin Girie.

Hadir sama ialah Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Datuk Anthony Tan Ping Yeow. – UKAS