KUCHING: Penglibatan aktif jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) diyakini mampu membantu gabungan itu memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, sambutan menggalakkan daripada ahli pergerakan itu mencerminkan komitmen mereka untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh sokongan terhadap GPS.
Menurutnya, golongan wanita mempunyai pengaruh besar dalam pilihan raya kerana mampu mempengaruhi bukan sahaja suami dan anak-anak, malah keluarga serta masyarakat sekeliling.
“Jentera wanita sangat penting kerana mereka bukan sahaja boleh mempengaruhi suami, malah anak-anak, keluarga dan masyarakat sekeliling.
“Dengan kekuatan pergerakan wanita, kita yakin GPS mampu mencapai kemenangan di kesemua 82 kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Jentera Wanita GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama dan komitmen seluruh anggota jentera wanita penting bagi memastikan gerak kerja mendekati pengundi dapat dilaksanakan dengan berkesan.
