KUCHING: Semua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Pantai Damai bagi tempoh 2015 hingga 2025 telah diselesaikan sepenuhnya, manakala projek bagi tahun 2026 kini masih dalam pelaksanaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan setiap projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar demi memenuhi keperluan dan meningkatkan kemudahan penduduk.
“Kelewatan beberapa projek yang menjadi perhatian di media sosial bukan disebabkan kegagalan keseluruhan pelaksanaan RTP, sebaliknya berpunca daripada beberapa kekangan teknikal di lapangan.
“Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kelewatan pelantikan kontraktor, masalah teknikal, isu kelulusan tanah serta kebenaran menggunakan laluan yang melibatkan tanah persendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pernangguhan Konvensyen Saudara Kita Peringkat Negeri Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, terdapat keadaan apabila pemilik tanah yang pada awalnya bersetuju memberikan laluan bagi pelaksanaan projek kemudiannya menarik balik persetujuan, sekali gus menjejaskan kelancaran kerja.
Sehubungan itu, pihaknya sentiasa berbincang dengan Pejabat Daerah, Pejabat Residen dan agensi pelaksana bagi menangani sebarang masalah yang timbul.
Abdul Rahman yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, beliau turut membawa beberapa agensi pelaksana termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Sarawak Energy (SEB) turun padang bagi meninjau perkembangan projek masing-masing.
“Pemantauan mendapati pelaksanaan projek infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem perparitan, jeti nelayan dan laluan pejalan kaki menunjukkan perkembangan yang baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman menegaskan kesediaannya untuk akur terhadap apa jua keputusan yang bakal diumumkan oleh Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), selaras dengan prinsip kesetiaan dan penghormatan terhadap kepimpinan parti.
Beliau berkata, sejak mula bergiat dalam PBB menerusi sayap pemuda, beliau telah dididik untuk sentiasa menghormati keputusan kepimpinan dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Saya bersama jentera parti di kawasan Pantai Damai sentiasa berpegang kepada prinsip tersebut dan akan menerima serta menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Jadi saya akan akur pada apa saja keputusan yang akan diumumkan oleh kepimpinan kita,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam membangunkan kawasan Pantai Damai sekiranya khidmatnya masih diperlukan. — IQHWAN HAMDAN/ JIWA BAKTI
