KOTA SAMARAHAN: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Samarahan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat diteruskan menerusi penganjuran program berkenaan pada 22 hingga 23 November ini.
Majlis yang bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menghimpunkan pelbagai agensi bagi menyediakan kemudahan mendapatkan perkhidmatan awam kepada masyarakat.
Penganjuran siri ke-11 itu merupakan usaha Kerajaan Sarawak memastikan rakyat mempunyai akses lebih mudah kepada pelbagai inisiatif dan kemudahan yang disediakan, termasuk penduduk di luar bandar dan pedalaman.
Pengunjung berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pegawai agensi kerajaan bagi mendapatkan penerangan mengenai dasar, program serta inisiatif pembangunan negeri.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk kaunter pertanyaan Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta JobSarawak.
Program berkenaan turut menyediakan saringan kesihatan, kecergasan dan pameran kesihatan secara percuma bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
SKS 2026 Bahagian Samarahan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk Konsert Rakyat dan e-Peraduan yang menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung.
