Wanita GPS sasar pertambahan kadar keluar mengundi, majoriti kemenangan

KUCHING: Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) menetapkan tiga sasaran utama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13, kata Ketua Wanitanya, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Katanya, ini termasuk meningkatkan peratusan keluar mengundi dan majoriti kemenangan.

Beliau berkata, sasaran ketiga adalah memastikan GPS memperoleh mandat yang lebih besar berbanding pilihan raya negeri lalu.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap kepimpinan GPS tidak seharusnya diukur berdasarkan kehadiran dalam program atau maklum balas di media sosial semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada undi.

“Sokongan itu mesti diterjemahkan kepada undi dan dimasukkan ke dalam peti undi.

“Kita tidak mahu sokongan hanya tinggal di bibir, sebaliknya dibuktikan melalui jumlah undi yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Wanita GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB berkata, jentera Wanita GPS kini berada pada tahap kesiapsiagaan sepenuhnya dengan bilik gerakan telah dibuka dan pengagihan tugas disiapkan.

Tegas beliau, setiap anggota jentera perlu memahami tanggungjawab masing-masing selain memperkukuh kerjasama dengan sayap bapa, pemuda dan belia bagi memastikan gerak kerja pilihan raya berjalan lancar.

Beliau turut menekankan kepentingan memahami profil pengundi di setiap kawasan DUN, termasuk pertambahan pengundi baharu serta pecahan mengikut umur dan jantina.

Menurutnya, pendekatan bersemuka melalui aktiviti turun padang perlu diteruskan seiring penggunaan media sosial, khususnya bagi mendekati golongan muda.

“Kita tidak boleh hanya aktif di media sosial tetapi kurang turun padang.

“Jangan pula terlalu bergantung kepada pendekatan tradisional sehingga mengabaikan ruang digital,” katanya.

Dalam pada itu, Fatimah mengingatkan jentera supaya memberi penerangan kepada pengundi mengenai kaedah menandakan kertas undi dengan betul bagi mengurangkan undi rosak, khususnya dalam kalangan warga emas.

Beliau berkata, pemantauan terhadap kadar keluar mengundi juga perlu dipertingkat bagi memastikan pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

Fatimah turut menggesa seluruh kepimpinan dan anggota Wanita GPS supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh disiplin, kesungguhan serta semangat kebersamaan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

PRU DUN Sarawak Ke-13 pada 12 Disember ini, manakala penamaan calon (28 November).-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI