KUCHING: Perasmian Kompleks Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) membuka lembaran baharu dalam memperkukuh gerak kerja dakwah, pendidikan, kebajikan serta pembangunan ummah di Sarawak.
Yang Dipertua HIKMAH Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, pembangunan kompleks itu direalisasikan hasil cetusan idea Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta sokongan Kerajaan Sarawak menerusi penyediaan tanah dan penyaluran geran pembangunan.
Menurutnya, kemudahan prasarana yang lebih sempurna itu diharap dapat meningkatkan keupayaan HIKMAH dalam melaksanakan program dakwah secara sistematik, menyeluruh dan berkesan.
“Antara keutamaan kami ialah menyantuni saudara-saudara kita yang telah memeluk Islam.
“Ini khususnya komuniti muallaf yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak,” katanya semasa ucapan aluan di Majlis Perasmian Kompleks HIKMAH, di sini, malam ini.
Perasmian disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambahnya, pembangunan remaja dan belia turut menjadi agenda penting HIKMAH dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak mulia serta mempunyai daya kepimpinan.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
